KUCHING, 9 Mei - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg teruja untuk mengumumkan keputusan untuk menjadi tuan rumah SUKMA ke-21, sekali gus mengesahkan komitmen kuat beliau untuk membangunkan sukan di Malaysia.
“Disebabkan kita mempunyai semangat untuk memajukan sukan Malaysia, sebab itu kami bersetuju untuk menjadi tuan rumah SUKMA ke-21 kerana walaupun negeri lain yang sepatutnya menganjurkannya tetapi tidak mahu,” katanya.
Keputusan ini bukan sahaja keputusan spontan, tetapi juga mencerminkan kecintaannya yang mendalam terhadap sukan, generasi muda dan atlet.
"Disebabkan itu, kita berada di ranking dalam negara, kita suka sukan, kita sayang orang muda, kita sayang atlet muda ini. Jadi saya dan rakan-rakan dalam kerajaan kita kata ‘okay’," jelasnya semasa berucap dalam Majlis Countdown 100 Days to SUKMA 21 bertempat di Hotel Pullman, di sini.
Abang Johari turut menekankan komitmennya untuk menyokong pembangunan sukan dengan menyediakan pembiayaan yang mencukupi.
"Jika dana kekurangan, kita akan sediakan dana. Demi pembangunan sukan dan masa depan wira kita dalam sukan," tambahnya.
Menyedari kepentingan persiapan rapi, beliau menekankan perlunya kerja keras menjelang 100 hari sukan SUKMA.
“Sebab itu kita perlu bekerja keras, menjelang 100 hari sukan SUKMA, atlet kita perlu bekerja keras,” katanya.
Dengan penuh harapan, Premier Sarawak menyatakan hasrat untuk melihat atlet Sarawak membawa nama Sarawak ke pringkat tertinggi dalam pentas sukan SUKMA ke-21 ini.
“Jadi hasrat saya dalam kerajaan atlet kita adalah untuk membawa tanah air kita ke puncak dalam sukan,” katanya.
Walaupun mengakui ada halangan yang perlu diharungi, beliau tetap yakin dengan kegemilangan yang mungkin.
"Orang kata tak boleh buat, tapi bagi saya tak mustahil. Kalau Sarawak dah jadi peneraju dalam ekonomi hijau, biarlah kita juga ada sukan di Malaysia. Saya rasa boleh. Anda semua adalah harapan Sarawak," tegasnya.
Abang Johari juga berjanji akan memberikan insentif kepada atlet yang berjaya, dan akan berbincang bersama Dato Sri Karim Rahman Hamzah.
“Dengan itu nanti saya akan berbincang dengan Dato Sri Karim Rahman Hamzah sama ada kita boleh dapat banyak pingat emas, itu insentifnya nanti,” katanya.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.